“Hmm..tension nyer,tak tenang rasa hati, banyak lagi subjek tak cover,exam dah dekat,” keluh ku tika study week berbaki satu hari lagi.
Jiwa yang tenang merupakan nikmat yang perlu disyukuri, yang senantiasa didambakan oleh insan yang bernama manusia. Lantas, pelbagai usaha dilakukan untuk mengecapi nikmat tersebut. Namun, ketenangan ini bukan mudah untuk dikecapi. Kaya tetapi resah gelisah, berpangkat tetapi gundah gulana, tidak beroleh bahagia, hanya mengenal sengsara.
Hati yang tidak tenang,akan mempengaruhi yang lainnya. Jasmani, emosi, rohani dan intelek. Solat tidak khusyuk, urusan harian tergendala, segalanya terbengkalai. Dek kerana itu, ketenangan hati ini perlu diusahakan.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.”
Rasulullah s.a.w mengajar kepada kita, umatnya agar berdoa supaya hati sentiasa khusyuk. Doa tersebut berbunyi, “Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada hati yang tidak khusyuk, dan doa yang tidak didengari, dan daripada nafsu yang tidak puas serta ilmu yang tidak bermanfaat, Aku berlindung dengan-Mu daripada empat perkara itu.”
Tanpa perlindungan daripada Allah hati kita akan lalai, Tanpa perlindungan daripada Allah doa kita mungkin tidak ikhlas, Tanpa perlindungan daripada Allah nafsu kita tidak dapat dikawal, Tanpa perlindungan daripada Allah juga ilmu yang dimiliki tidak dapat dimanfaatkan.
Pernah suatu ketika,seorang sahabat Rasulullah s.a.w, Ibnu Mas’ud didatangi oleh seorang lelaki yang raut wajahnya tergambar duka nestapa. Lalu lelaki itu berkata : “Wahai Ibnu Mas’ud berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapatku jadikan sebagai penawar untuk hatiku yang gelisah ini.Sejak akhir-akhir ini perasaanku tidak begitu tenteram,jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu usut, aku tidak selera hendak makan, tidurku pun tidak lena.”
Mendengar itu, Ibnu Mas’ud terus berkata : “Sekiranya itulah penyakit yang menimpa jiwamu, maka hendaklah kau bawa hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu pertama, tempat orang membaca Al-Quran sama ada kamu membacanya atau kamu mendengarnya. Kedua, Majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah, dan ketiga, carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadat kepada Allah dengan penuh khusyuk dan tulus ikhlas.”
Akhir kata sahabat-sahabat, marilah sama-sama muhasabah diri, jika kita menghadapi masalah hati yang tidak tenang, jiwa yang lapar, dan segala kekusutan,kepada siapakah pertama sekali kita mengadu kita mengadu???..
Apabila seseorang itu banyak mengadu kapada manusia, maka sedikitlah pengaduannya kepada Allah S.W.T, lantaran telah dilepaskan kekecewaan dan pengaduannya kepada manusia. Maka dimanakah Allah S.W.T di dalam hatinya???..
Semakin banyak pengaduan, masalah dan kekecewaan yang ingin dikongsi dengan Allah S.W.T , Maka semakin banyak masa akan diperuntukkan bersama Allah S.W.T. Inilah antara punca orang-orang beriman bangun ditengah malam, kerana pengaduan yang hakiki sebenarnya hanyalah pada Allah S.W.T..